Urus domain yang disahkan dalam Apple School Manager
Selepas domain disahkan, terdapat tiga pilihan yang tersedia, semua pilihan boleh didayakan untuk setiap domain:
Pilihan 1. Kunci domain: Pilihan ini menghendaki semua Akaun Apple baharu dicipta hanya pada domain Akaun Apple Terurus.
Lihat Kunci domain.
Pilihan 2. Tangkapan domain: Pilihan ini membolehkan anda menggunakan tangkapan domain untuk memastikan mana-mana akaun yang menggunakan domain anda ialah Akaun Apple Terurus. Ini termasuk kemungkinan untuk menukar Akaun Apple sedia ada (yang mungkin sebelum ini dicipta menggunakan domain organisasi) kepada Akaun Apple Terurus.
Lihat Tunjukkan akaun tidak terurus menggunakan domain anda.
Nota: Menghidupkan tangkapan domain juga akan mengunci domain jika domain tidak dikunci sebelum ini.
Pilihan 3. Pengesahan penyepaduan: Jika tiada konflik Akaun Apple tidak terurus atau selepas proses tangkapan domain bermula, pengguna dengan peranan Pentadbir, Pengurus Laman dan Pengurus individu boleh memilih untuk terus menghidupkan pengesahan penyepaduan dengan IdP. Hasilnya, pengguna boleh memanfaatkan nama pengguna Google Workspace, Microsoft Entra ID atau IdP (secara amnya alamat e-mel mereka) dan kata laluan sebagai Akaun Apple Terurus. Apabila pengesahan penyepaduan dihidupkan, Akaun Apple Terurus dicipta secara automatik untuk pengguna baharu pada kali pertama mereka mendaftar masuk.
Selepas proses tangkapan domain dan pengesahan penyepaduan selesai, pengguna dengan peranan Pentadbir, Pengurus Laman dan Pengurus Individu juga boleh menghidupkan direktori yang disegerakkan dengan IdP mereka.
Penting: Untuk memanfaatkan data jadual dan menugaskan peranan Pengajar dan Pelajar kepada akaun, jangan dayakan penyegerakan secara langsung dengan IdP. Sebaliknya, sepadukan dengan Sistem Maklumat Pelajar (SIS) anda atau muat naik data SIS menggunakan SFTP (Protokol Pemindahan Fail Selamat). Jika anda ingin menyegerakkan secara langsung dengan IdP, Apple School Manager memperuntukkan semua akaun tersegerak dengan peranan Pelajar. Akaun yang memerlukan peranan Pengajar mesti ditambahkan secara manual. Lihat Integrasikan Apple School Manager dengan Sistem Maklumat Pelajar (SIS) anda atau Muat naik data Sistem Maklumat Pelajar kepada Apple School Manager.
Penyegerakan direktori:
Mengimport maklumat akaun pengguna daripada IdP
Memantau perubahan dan menyegerakkan perubahan ini secara automatik kepada Apple School Manager
Mengalih keluar Akaun Apple Terurus secara automatik apabila akaun pengguna yang sepadan dipadamkan dalam IdP
Nota: Menghidupkan pengesahan penyepaduan juga akan mengunci domain jika domain tidak dikunci sebelum ini.
Ini membolehkan organisasi mengunci satu domain khusus dalam senarai domain sah mereka, menjalankan proses tangkapan domain pada domain lain dan menyepadukan domain ketiga.