Sediakan Apple Watch Untuk Anak Anda
Anda boleh menyediakan sebarang Apple Watch dengan selular untuk anak atau ahli keluarga anda, walaupun mereka tidak mempunyai iPhone mereka sendiri. Untuk berbuat demikian, anda mestilah menjadi pengelola keluarga atau ibu bapa/penjaga dalam kumpulan Perkongsian Keluarga anda.
iPhone yang anda mula-mula gunakan untuk pasangkan dan menyediakan Apple Watch mesti berada dalam julat Bluetooth yang biasa (lebih kurang 33 kaki atau 10 meter) dengan Apple Watch bagi mengurus seting dan menaik taraf perisian. Anak atau ahli keluarga anda mestilah sebahagian daripada kumpulan Perkongsian Keluarga anda dan mempunyai Apple Watch SE atau Apple Watch Series 6 atau lebih baharu yang mampu selular. (Jam anda atau ahli keluarga anda juga tidak perlu menggunakan pembawa selular yang sama dengan iPhone yang anda gunakan untuk mengurusnya.) Lihat Sediakan Perkongsian Keluarga pada iPhone dalam Panduan Pengguna iPhone.
Nota: Apple Watch Untuk Anak Anda tidak tersedia di semua negara atau rantau.
Menggunakan app Apple Watch dan Masa Skrin pada iPhone, anda boleh mengurus yang berikut:
Had dan keselamatan komunikasi
Jadual untuk waktu rehat daripada skrin.
Waktu Sekolah—ciri yang mengehadkan ciri Apple Watch tertentu semasa waktu sekolah
Seting Mail dan kalendar untuk iCloud, Gmail dan perkhidmatan lain
Seting pengehadan untuk kandungan eksplisit, pembelian dan privasi
Tambahan lagi, anda boleh melihat maklumat Aktiviti, Kesihatan dan Lokasi untuk Apple Watch terurus berdasarkan cara ia disediakan.
Nota: Apple Watch yang disediakan untuk ahli keluarga anda tanpa iPhone dihadkan dalam sesetengah interaksinya dengan iPhone yang digunakan untuk menyediakannya. Contohnya, anda tidak boleh membuka kunci iPhone berpasangan daripada Apple Watch yang anda sediakan untuk anak dan anda tidak boleh menghantar tugas daripada Apple Watch terurus kepada iPhone. Jika anda memadamkan app daripada Apple Watch yang disediakan untuk anak, ia juga tidak dikeluarkan daripada iPhone yang digunakan untuk menyediakannya.
Sediakan Apple Watch ahli keluarga anda
Menyediakan Apple Watch untuk anak atau ahli keluarga serupa dengan menyediakan jam untuk anda sendiri. Sebelum anda memasangkan dan menyediakan jam untuk ahli keluarga, padam jam untuk memastikan yang ia tidak mempunyai sebarang kandungan.
Minta ahli keluarga anda memakai Apple Watch mereka. Laraskan tali atau pilih saiz tali supaya Apple Watch muat rapat tetapi selesa pada pergelangan tangan mereka.
Pertimbangkan untuk menggunakan jenis tali ini untuk lebih ketat dan mudah dipakai bagi kanak-kanak: Gelung Sukan, Tali Sukan atau Gelung Solo.
Untuk mendapatkan maklumat tentang menukar tali pada Apple Watch anda, lihat Keluarkan, tukar dan ketatkan tali Apple Watch.
Untuk menghidupkan Apple Watch, tekan dan tahan butang sisi hingga logo Apple kelihatan.
Dekatkan iPhone anda dengan Apple Watch tersebut, tunggu skrin berpasangan Apple Watch kelihatan pada iPhone anda, kemudian ketik Teruskan.
Atau buka app Apple Watch pada iPhone anda, ketik Jam Saya, ketik Semua Jam, kemudian ketik Tambah Jam.
Ketik Sediakan untuk Ahli Keluarga, kemudian ketik Teruskan pada skrin seterusnya.
Apabila digesa, tempatkan iPhone anda supaya Apple Watch kelihatan dalam pemidang tilik dalam app Apple Watch. Ini akan memasangkan dua peranti ini.
Ketik Sediakan Apple Watch. Ikuti arahan pada iPhone anda dan Apple Watch untuk menyelesaikan persediaan.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang menyediakan dan memasangkan Apple Watch, lihat Sediakan dan pasangkan Apple Watch anda dengan iPhone dan artikel Sokongan Apple Sediakan Apple Watch untuk ahli keluarga.
Urus Apple Watch ahli keluarga
Buka app Apple Watch pada iPhone yang digunakan untuk mengurus jam tersebut.
Ketik Jam Saya, ketik Jam Keluarga, ketik jam, kemudian ketik Selesai.
Apabila anda mengetik Jam Saya untuk jam terurus, anda akan melihat pelbagai seting, termasuk yang berikut:
Seting | Pilihan | ||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Umum | Semak untuk kemas kini, pilih bahasa dan rantau serta reset Apple Watch. | ||||||||||
Selular | Sediakan selular jika anda belum berbuat demikian. Lihat Tambah Apple Watch ke pelan selular anda. | ||||||||||
Gerak Isyarat | Aktifkan Tutup untuk Senyapkan. Lihat Gunakan butang dan gerak isyarat untuk berinteraksi dengan Apple Watch. | ||||||||||
Kebolehcapaian | Konfigurasi seting kebolehcapaian. | ||||||||||
SOS Kecemasan | Untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan pilihan bagi menahan butang sisi untuk memanggil perkhidmatan kecemasan, serta menambah dan menukar kenalan kecemasan. | ||||||||||
Waktu Sekolah | Setkan jadual Waktu Sekolah. Lihat Bermula dengan Waktu Sekolah. | ||||||||||
Masa Skrin | Urus kawalan ibu bapa, dapatkan cerapan tentang masa skrin anak anda dan setkan had. | ||||||||||
Aktiviti | Urus pengalaman kecergasan yang dicipta untuk pengguna lebih muda. | ||||||||||
App Store | Urus muat turun dan kemas kini app automatik. Lihat Dapatkan app dalam App Store pada Apple Watch. | ||||||||||
Kenalan | Pilih kenalan yang dipercayai. | ||||||||||
Cari | Pilih seting pemberitahuan. | ||||||||||
Mencuci Tangan | Urus pengehadan dan aktifkan atau nyahaktifkan pemasa mencuci tangan. | ||||||||||
Kesihatan | Tambah atau edit butiran kesihatan dan ID Perubatan, lihat data kesihatan (dengan keizinan dan seting yang betul) orang yang menggunakan Apple Watch terurus, minta berkongsi data kesihatan dan pilih untuk berhenti menerima data kesihatan. | ||||||||||
Jantung | Lihat data jantung (dengan keizinan dan seting yang betul) orang yang menggunakan Apple Watch terurus, termasuk kadar jantung, keberubahan kadar jantung, kadar jantung rehat dan purata kadar jantung berjalan. | ||||||||||
Mail & Kalendar | Tambah akaun ahli keluarga—contohnya, Gmail atau Outlook. Pilih juga kekerapan Apple Watch mendapatkan kemas kini kalendar. | ||||||||||
Mesej | Pilih pilihan perencanaan dan edit balasan pintar. | ||||||||||
Bunyi | Aktifkan atau nyahaktifkan Ukuran Bunyi Persekitaran dan setkan ambang bunyi. | ||||||||||
Foto | Pilih album foto daripada iPhone yang digunakan untuk mengurus jam dan pilih bilangan foto yang Apple Watch boleh paparkan. | ||||||||||
Wallet & Apple Pay | Sediakan kad Apple Cash dan Transit Ekspres. |
Nota: Bukan semua ciri pada Apple Watch yang anda sediakan untuk diri anda tersedia pada Apple Watch terurus. Lihat artikel Sokongan Apple Sediakan Apple Watch untuk ahli keluarga.
Sediakan Masa Skrin
Gunakan Masa Skrin untuk mengkonfigurasi kawalan bagi Apple Watch kanak-kanak. Dengan Masa Skrin, anda boleh menjadualkan masa rehat daripada skrin dan mengehadkan kedua-dua kenalan serta app yang anak anda boleh gunakan untuk berkomunikasi dengan kenalan tersebut. Anda juga boleh mengenakan had pada pembelian iTunes Store dan app, kandungan eksplisit serta maklumat lokasi.
Untuk menyediakan Masa Skrin, ikuti langkah ini:
Buka app Apple Watch pada iPhone yang digunakan untuk mengurus jam tersebut.
Ketik Jam Saya, ketik jam di bawah Jam Keluarga, kemudian ketik Selesai.
Ketik Masa Skrin, ketik Seting Masa Skrin, kemudian ketik Teruskan.
Pada skrin yang berikut, konfigurasi pilihan untuk kandungan yang dibenarkan, keselamatan komunikasi, waktu rehat daripada skrin serta had app dan tapak web.
Cipta kod laluan Masa Skrin.

Sebagai alternatif, anda boleh membuka app Seting pada iPhone anda, ketik Masa Skrin, ketik nama anak anda di bawah pengepala Keluarga, ketik Aktifkan Masa Skrin, kemudian konfigurasi seting Masa Skrin.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Masa Skrin, lihat Panduan Pengguna iPhone.